Thursday, December 8, 2011

Usia bukan halangan

Assalamualaikum....
Da lama tak update blog nih.....sebab sebowk ngan blog lagi satu....hehe....mesti ramai yang minat citer Korea kan???Ari nih nak citer pasal citer drama Korea iaitu "Scent of a Woman" n pasal pelakonnya.....sebenarnya artikel ni di ambil dari akhbar BERITA HARIAN jew....hehe.....da la tuh....jom la baca pasai apa yg patot di baca....hehe...



pix_gal0
Sukar padam karakter penghidap kanser 

PERBEZAAN usia tidak menjadi penghalang bagi dua pelakon Korea ini membina keserasian dalam menjayakan watak pasangan bercinta, malah keberkesanan lakonan mereka membuatkan drama romantis lakonan kedua-duanya mendapat sambutan amat menggalakkan di negara kita.



Kim Sun-A, 36, dan Lee Dong Wook, 30, sememangnya saling memuji kredibiliti masing-masing dan mengakui senang bekerjasama serta sedikit pun tidak wujud ketidakselesaan walaupun drama dilakonkan memerlukan mereka menjayakan banyak adegan intim.
Pengalaman bekerjasama itu diceritakan mereka ketika ditemui di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, kelmarin, dan masing-masing teruja kerana ini adalah kali pertama mereka berkunjung ke sini, khusus bagi mempromosikan drama yang berjudul Scent of a Woman, pada masa sama mengambil kesempatan untuk bertemu media dan peminat. 

Memang tidak dinafikan dua pelakon berbakat ini mempunyai bilangan peminat yang tidak kurang hebatnya, masakan tidak mereka sanggup terbang jauh ke sini khas untuk memberikan tanda penghargaan. 

Barangkali bahasa adalah cabaran utama bagi mengenali dua pelakon ini dengan lebih rapat, tetapi ia tidak menghalang pelakon wanita yang terkenal menerusi drama My Lovely Sam Soon ini untuk berkomunikasi dengan setiap media yang hadir. 

Ternyata Sun-A seorang yang ramah dan ceria apabila dia pandai bermain dengan mimik muka dan gerak tubuh tatkala bercerita, lantas membuatkan wakil media mengukir senyuman, malah ada yang tertawa melihat keletah dirinya menyampaikan mesej. 
Di sebalik itu siapa yang menyangka, agak sukar untuk wanita ini memadamkan karakter Lee Yeon Jae dalam dirinya. Watak berkenaan dilakonkan dalam drama Scent Of A Woman, di mana dia memainkan watak wanita yang terpaksa bertarung dengan nyawa apabila disahkan menghidap kanser. 

Secara ringkasnya, drama 16 episod ini menceritakan mengenai perjalanan hidup Yeon Jae, seorang wanita yang hanya tinggal enam bulan lagi untuk mengecapi kehidupan selepas mengetahui nyawanya diancam penyakit barah. 

Dikurniakan kebahagiaan walaupun dalam tempoh yang singkat, pertemuannya dengan Kang Ji Wook, lakonan Dong Wook, anak kepada bekas majikan Yeon Jae yang kaya tetapi sinis ini membuahkan bibit-bibit cinta yang mana penonton dapat menyaksikan pelbagai adegan pahit manis serta menyentuh hati di sebalik perjalanan cinta mereka berdua. 

"Watak Yeon Jae banyak bermain dengan emosi dan memerlukan saya untuk fokus mengawal emosi yang dibina, serta saya banyak menggunakan imaginasi dalam menghayati karakter itu. Dalam drama ini juga saya benar-benar menghayati kehidupan Yeon Jae dan tidak senang untuk saya menyingkirkan karakter itu dari diri saya dalam masa yang singkat. 

“Tambah lagi, untuk menjayakan promosi drama terbabit, saya perlu kekal dalam karakter sehingga hujung tahun ini. Oleh sebab itu saya mengambil masa untuk berehat seketika daripada berlakon dan kini sedang mempertimbangkan beberapa tawaran lakonan yang lain. 

“Boleh dikatakan 16 episod adalah masa yang agak singkat untuk penonton mendalami cerita ini. Scent of a Woman menekankan bahawa pentingnya cinta dalam kehidupan seseorang dan ia lahir dari hati, bukannya luaran. Bahkan jika kisah percintaan ini terjadi pada kehidupan realiti, saya tidak rasa umur menjadi masalah dalam sesuatu perhubungan,” ujarnya yang menyifatkan adegan menari tango antara yang paling mencabar dalam drama berkenaan.

Ingin bergelar sutradara 

BAGI Dong Wook pula, agak sukar untuknya memilih adegan yang mencabar, kerana rata-rata perjalanan cerita ini memerlukan penghayatan yang kuat, tambah lagi babak romantis yang menyentuh perasaan. 

Akui aktor yang terkenal menerusi drama My Girl, drama yang hingga ke hari ini menjadi bualan peminat, dia pada mulanya agak takut untuk membawakan watak Kang Ji Wook, memandangkan dirinya sudah dua tahun tidak berlakon kerana baru saja tamat kursus ketenteraan. 

Namun di atas kepercayaan dan sokongan yang diterima berserta bimbingan dari Sun-A sendiri, dirinya perlahan-lahan membina kembali keyakinan, lantas menggunakan masa dengan sebaiknya mengasah bakat lakonannya bersama barisan pelakon, kru dan pengarah. 

“Walaupun Sun-A ialah pelakon senior dan lebih berpengalaman daripada saya, dia tidak lokek berkongsi ilmu. Mana mungkin saya menolak peluang untuk berlakon di samping pelakon popular sepertinya? Disebabkan itu saya menerima tawaran berlakon drama ini. 

“Saya akui saya agak kekok untuk berlakon selepas keluar dari kem tentera, namun di atas sokongan dan dorongan orang di sekeliling, saya dapat menghayati watak dengan baik. Jika dulu saya dikenali dengan karakter di dalam My Girl, kini saya mahu dikenali dengan drama ini yang memperlihatkan sisi matang saya dalam lakonan, memandangkan usia saya yang semakin bertambah,” ujarnya yang menyimpan impian untuk bergelar pengarah. 

Pelakon dan juga model ini mempunyai hasrat untuk menghasilkan sebuah drama atau filem yang berunsurkan misteri serta melodrama pada masa depan. Siapa tahu dirinya akan duduk di kerusi sutradara menghasilkan barisan cereka buat tontonan ramai, dan pastinya peminat setia tidak akan melepaskan peluang untuk menontonnya. 

Berkongsi serba sedikit mengenai peribadinya, aktor ini berkata, dirinya tidak seperti karakter Ji Wook. Dia seorang yang berterus terang dan tidak begitu ramah dan mesra, namun Dong Wook gemar meluangkan masa bersama kawannya. 

Scent of a Woman ialah drama pertamanya selepas sekian lama tidak beraksi, dan ini akan disusuli dengan drama berjudul Wild Romance, yang akan ke udara pada Januari depan. Amat berlainan dengan watak Ji Wook, aktor kacak ini membawakan watak seorang pemain bola keranjang di dalam drama bersiri terbabit. 

Drama bersiri lakonan kedua-dua bintang ini boleh diikuti di saluran One HD (Astro B.yond saluran 393), pada setiap Rabu dan Khamis, jam 9.05 malam. 

Saturday, October 15, 2011

Hanya 2-0


YONG Kuong Yong (kiri) bersaing hebat dengan pemain Nepal, Biraj Maharjan pada perlawanan persahabatan, semalam.
YONG Kuong Yong (kiri) bersaing hebat dengan pemain Nepal, Biraj Maharjan pada perlawanan persahabatan, semalam.
“KITA perlu cari idea bagaimana untuk mendapatkan pergerakan lebih baik di depan pintu gol lawan,” jelas jurulatih skuad Sukan SEA negara, Ong Kim Swee selepas menyaksikan Harimau Muda menewaskan pasukan kebangsaan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), semalam. 

Kenyataan ringkas itu mencerminkan keresahan Kim Swee menjelang misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA bulan depan, andai terpaksa menentang pasukan yang mengamalkan taktik bertahan.
Yang pasti, prestasi semasa barisan muda negara seolah-olah hilang punca dan kekeringan idea untuk mencari ruang jaringan apabila Nepal yang dikendalikan Graham Paul Roberts, mampu menyerap asakan pemain negara, sebelum menemui jawapan pada minit ke-80 menerusi Izzaq Faris Ramlan dan Yong Kuong Yong pada masa tambahan.
“Corak Nepal adalah bertahan. Kita belajar bagaimana nak memecah kebuntuan sekiranya berdepan pasukan yang bermain seperti ini kerana kita mungkin berdepan pasukan Laos dan Kemboja yang bermain dengan corak ini,” kata Kim Swee sejurus tamat perlawanan, semalam. 

“Bukan semua pemain utama beraksi kerana pemain di Slovakia (Fadhli Shas, Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor) serta Khairul Fahmi (Che Mat) dan Zubir Azmi masih bersama pasukan masing-masing. 

“Sebagai perbandingan juga, Filipina mengalahkan Nepal 4-0 dengan kekuatan skuad kebangsaan tapi pasukan Bawah 23 tahun kita yang tanpa beberapa tonggak mengalahkan Nepal 2-0, jadi saya berpuas hati dan itu satu keputusan yang bagus,” katanya. 

Sunday, September 25, 2011

Hajat Chong Wei tak sampai


pix_gal0
HAJAT Lee Chong Wei untuk meraih kejuaraan kali ketiga kejohanan badminton Terbuka Jepun dan trofi kejuaraan ketujuh tahun ini tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain China, Chen Long pada aksi final di Gymnasium Metropolitan, Tokyo, semalam.

Chong Wei yang diramal mampu bergelar juara selepas mudah menyingkirkan pemain Denmark, Peter Gade untuk laluan ke final serta penarikan diri juara Olimpik dan juara dunia Lin Dan yang memberi kemenangan percuma kepada rakan senegaranya Chen Long untuk mara ke final, gagal menepati ramalan apabila tewas dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama sejam 13 minit di kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$200,000 (RM600,000) itu.
Juara bertahan itu tewas kepada Chen Long di set pertama 8-21, sebelum bangkit di set kedua dengan kemenangan 21-10.
Pada set penentuan, Chong Wei yang juga pilihan utama dan juara pada edisi 2007 berjaya mendahului pilihan keempat kejohanan itu 19-18 pada hujung saingan, namun akhirnya terpaksa akur bahawa Chen Long lebih unggul apabila kecundang tipis 19-21.

Kemenangan semalam hanya kejayaan kali kedua Chen Long menewaskan jaguh negara itu dalam enam pertemuan sesama mereka, yang mana kekalahan tunggal Chong Wei kepada pemain China itu sebelum ini ialah pada pusingan pertama Terbuka India 2009.

Chong Wei, 29, sebelum ini memenangi enam daripada lapan final yang disertainya tahun ini dengan kedua-dua kekalahan yang dialaminya itu adalah kepada Lin Dan yang menewaskannya di Terbuka Korea dan Kejohanan Dunia.

Aksi final semalam menyaksikan China mengungguli empat daripada lima acara yang dipertandingkan apabila mereka turut menjuarai acara perseorangan wanita serta beregu lelaki dan wanita. 
Pilihan utama perseorangan wanita, Wang Yihan menewaskan pemain Jerman, Juliane Schenk 21-16, 21-14 untuk memastikan kejuaraan, manakala Bao Yixin-Zhong Xianzin memastikan kejuaraan beregu wanita selepas menewaskan pasangan Taiwan, Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin 13-21, 25-23, 21-12. 

Juara bertahan yang juga pilihan pertama beregu lelaki, Cai Yun-Fu Haifeng melengkapkan penguasaan China apabila menewaskan pilihan keempat dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano 21-13, 23-21.

Sementara itu, dalam acara beregu campuran yang menjadi satu-satunya acara final yang tidak membabitkan pemain China, menyaksikan pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Cheng Wen Hsing menewaskan pasangan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen 21-19, 16-21, 21-15.

Sunday, September 11, 2011

SEJARAH BUKIT KEPONG


Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya(berbangsa Cina)semasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar MuarJohorMalaysia.
Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:
  1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
  2. Keadaan balai polis yang terpencil
Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.
Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.
Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ.

 Serangan Komunis

Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan dipercayai diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu dan Komisser Goh Peng Tun. Pihak komunis mengepong balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 04.15 pagi. Apabila Konstabel Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat duri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun lebih sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Allahyarham Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.
Sekitar pukul 5 pagi pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk membantu. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Sten Gun turut dimusnahkan komunis.
Sekitar pukul 7 pagi, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Allahyarham Konstebel Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Konstabel Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.
Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan baai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek pasangan kawin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.
Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.
14 anggota polis termasuk Allahyarham Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

 Bantuan dari perkampungan berdekatan

Semasa serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema kebeberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Kampung Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 AP/HG (Polis Bantuan - Auxiliary Police/Pengawal Kampung - Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari stesen pokis Bukit Kepung. Mereka kekurangan senjata berbanding komunis yang menggunakan senjata automatik berbanding raifal dan senapang patah yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepung dan memaksa pengunduran umum komunis.
Disebabkan keadaan tidak seimbangan, Ali Mustafa mengarah pengawalnya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.
Pada masa yang sama, sekumpulan pegawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh kearah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai kesana pada 10am dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan.

 Selanjutnya

Apabila pengawal kampung memasuki kampung Bukit Kepung, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Ketua kampung mengambil alih pentakbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik yang bagaimanapun mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan menentang komunis. Terdapat pendapat yang menyamai peristiwa Bukit Kepong dengan Alamo, di mana anggota polis Bukit Kepong sama seperti penduduk (Texans) berhadapan dengan cabaran yang hebat dan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir.

 Mereka yang terselamat

Anggota Polis
  1. Konstabel Othman Yusoff (meninggal);
  2. Konstabel Marin Abu Bakar Daud (meninggal);
  3. Konstabel Tambahan Ahmad Khalid (meninggal);
  4. Sarjan Haji Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)
Ahli keluarga anggota
  1. Mariam Ibrahim - balu Allahyarham Konstabal Muhamad Jaafar
  2. Zainun Muhamad - anak perempuan Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
  3. Abu Samah Muhammad - anak lelaki Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
  4. Zaleha - anak perempuan Allahyarham Konstable Muhamad Jaafar
  5. Jamilah - anak perempuan Konstabel Marin Abu Bakar Daud
  6. Hussain - anak lelaki Konstabel Marin Abu Bakar Daud
  7. Fatimah Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Allahyarham Konstabel Hassan Osman
  8. Pon Khalid - isteri Allahyarham Konstabel Marin Awang Ali
  9. Fatimah Tuani - isteri Allahyarham Konstabel Hamzah Ahmad

 Mereka yang terbunuh dalam pertempuran

Anggota Polis
  1. Allahyarham Sarjan Jamil Mohd Shah (KPB Bukit Kepong)
  2. Allahyarham Koperal Mohd Yassin Haji Wahab
  3. Allahyarham Lans Koperal Jidin Omar
  4. Allahyarham Konstabel Hassan Osman
  5. Allahyarham Konstabel Hamzah Ahmad
  6. Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan
  7. Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
  8. Allahyarham Konstabel Marin Ibrahim Adam
  9. Allahyarham Konstabel Abu Mohd Ali
  10. Allahyarham Konstabel Abu Kadir Jusoh
  11. Allahyarham Konstabel Marin Awang Ali
  12. Allahyarham Konstabel Marin Basiron Adam
  13. Allahyarham Konstabel Tambahan Mohd Top Lazim
  14. Allahyarham Konstabel Tambahan Jaafar Arshad
Polis Bantuan
  1. AP Samad Yatim
  2. AP Mahmood Saat
  3. AP Ali Akop
  4. AP Othman Yahya
Keluarga Anggota
  1. Fatimah Yaaba - isteri kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
  2. Hassan Abu Bakar - anak lelaki kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
  3. Saadiah - isteri kepada Konstabel Abu Mohd Ali
  4. Simah Abu - anak kepada Konstabal Abu Mohd Ali
Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kapung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
  1. AP Redzuan Alias
  2. Embong Lazim
  3. Koh Ah Cheng

Thursday, August 4, 2011

SAFEE SALI dan AMIRUL HADI dikutuk




Belum pun reda bahang saingan di antara Harimau Malaya dan Singapura, bulan lalu, sudah cetus satu lagi episod panas. Penyerang sensasi negara, Safee Sali bernada kecewa apabila tampil menuntut agar Hidayah Shahril - isteri kepada ketua pasukan skuad Singapura, Shahril Ishak membuat permohonan maaf secara gara-gara membuat kenyataan berbaur penghinaan kepadanya dan rakan sepasukan, Amirulhadi Zainal selepas perlawanan antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai lalu. Hidayah menerusi laman Twitter peribadinya, menggelar Safee dan Amirul tidak ubah seperti monyet kerana percubaan melakukan tendangan lipat serentak pada perlawanan berkenaan. “Saya cukup tersinggung dengan kata-kata isteri Shahril, apa lagi suaminya adalah antara sahabat saya yang turut beraksi di liga Indonesia. Malah Shahril juga meminta jersi saya selepas perlawanan tempoh hari sebagai tanda persahabatan kami, tetapi kenyataan isterinya amat menyinggung perasaan saya. Kami memandang serius perkara ini kerana ia menyentuh keperibadian seorang pemain profesional negara,” kata Safee dalam satu kenyataan kepada media. “Buat masa sekarang, kami belum memikirkan untuk sebarang tindakan undang-undang, tetapi cukup sekadar dia memohon maaf dan menyatakan kekesalannya kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian serta berjanji untuk tidak mengulanginya pada masa depan. Menurut Safee, memandangkan pasukan Singapura akan lebih kerap ke Malaysia musim depan, begitu juga sebaliknya, dia mahu isu ini diselesaikan segera supaya tidak timbul suasana tidak diingini apabila pemain terbabit kembali ke sini. Sifat seteru antara Singapura dan Malaysia tidak pernah putus-putus dan terkini adalah selepas perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia. Dalam perlawanan pertama Malaysia tewas 3-5 dan seri 1-1 dalam timbal balik di Bukit Jalil.

Thursday, June 16, 2011

Kutipan KL Gangster Hari Keempat RM6.2 juta

Kutipan filem KL Gangster sudah mencapai RM 6.2 juta setelah 4 hari ditayangkan di pawagam. Fuhh!! hebat betul ye, baru 4 hari tu. Syamsul Yusof menulis di wall facebooknya,
“Siapa kata filem kita tidak mampu pergi jauh? Kutipan hari keempat KL Gangster sudah mencecah RM6.2 juta. Terima kasih buat semua ! Jutaan syukur. Kejayaan ini untuk semua penggiat seni tempatan. Dan untuk semua rakyat Malaysia, Brunei dan Singapura.
“Saya sayangkan anda semua!! Anda semua adalah inspirasi saya.
“Ini bukti rakyat kita dahagakan karya anak-anak tempatan dan mampu memberi sokongan 100 peratus pada industri. Dengan penuh  rasa rendah diri, aku bersyukur dan berterima kasih pada tuhan dan kalian. Alhamdulillah.
Dengan kutipn yang membanggakan tu, Syamsul menyifatkan ia sebagai satu sejarah  kutipan tertinggi filem tempatan

Sinopsis KL Gangster dan Trailer


Lagi filem baru Syamsul Yusof, KL Gangster sudah pun berada di pawagam pada 9hb Jun. Para pelakon dalam KL Gangster ialah Syamsul Yusof, Aaron Aziz, Ady Putra, Ridzuan Hashim, Zizan, Sheera Iskandar dan Adam Corrie. Filem ni diarahkan oleh Syamsul dan jalan cerita pun dia yang buat. Ramai pelakon hebat dalam filem ni nampaknya. Filem ni pasti mendapat sambutan hangat dan kutipannya mesti masyukk!! Sayang Sam tak dak pulak dalam filem ni kalau tak lagi masyuk ler.
KL Gangster


Sinopsis KL Gangster,
Mengisahkan dua beradik yang telah terjebak di dalam dunia gangster, seorang bernama Malek dan seorang lagi Jai. Si abang iaitu Malek telah dipenjarakan selama 5 tahun akibat dikhianati oleh kumpulannya sendiri yang didalangi oleh Shark anak tiri kepada King, iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL. Bagi Malek setelah dibebaskan beliau ingin mengubah persepsi kehidupan serta menjauhkan diri dari kehidupan hitam sebagai ahli kongsi gelap.
Menjalani rutin kehidupan biasa sambil menjaga ibunya yang dah tua tapi sebagai bekas banduan yang dipandang serong oleh masyarakat adalah agak sukar dia menjalani kehidupan seperti biasa. Beliau sering diganggu oleh gangster-gangster lain yang masih berdendam dengan beliau sehingga King tampil menghulurkan bantuan untuk Malek memulakan kehidupan baru. King mengarahkan orangorangnya supaya tidak menganggu kawasan Malek dan ini amat tidak disenangi oleh anak tirinya Shark yang ingin menjadi “Raja” di KL ini. Berlainan pula dengan kehidupan adiknya yang masih hanyut dibuai kemewahan hidup di dalam dunia gangster.
Bagi Jai kemewahan hidup adalah segalanya dan ini hanya boleh dicapai dengan dunia hitam yang diceburinya sekarang. Dia sanggup melakukan apa saja demi wang dan kuasa. Jai antaraorang kuat Shark dalam apa saja misi yang Shark lakukan. Jai lah orangnya yang akan tampil ke depan untuk merealisasikan apa jua yang diarahkan Shark. Sayap Shark semakin berkembang. Tapi dengan kemunculan Malek, Shark terasa semakin tergugat. Beliau terasa tercabar. Berbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan Malek tetapi sentiasa dipatahkan oleh ayah tirinya King yang sering membela Malek yang dianggap sebagai sahabat.
King kurang senang dengan karenah Shark yang sentiasa mencetuskan perbalahan yang membabitkan kumpulan-kumpulan gelap yang lain. Ini membuatkan hubungan anak beranak ini semakin dingin. Kerana tamakan kuasa Shark mula berdendam dengan ayahnya beserta Malek. bagi Shark, Maleklah punca segalanya. Dengan itu, Shark mengarahkan Jai untuk menghapuskan abangnya. Disinilah bermula konflik diantara saudara dan kesetiaan keluarga dan kumpulan… Nyawa atau harga diri. Dimanakah penghujung pertempuran mereka…segala-galanya akan terjawab dalam “KL GANGSTER”.

Trailer KL Gangster